Soalan- Soalan Lazim (FAQ)

Apakah pemeriksaan mata komprehensif?

Pemeriksaan mata komprehensif di IKONIK merangkumi penilaian mata terperinci dari depan hingga belakang mata anda menggunakan mesin yang canggih dan terkini. Ini diikuti dengan sesi perundingan dengan optometris klinikal kami di mana titisan kembang anak mata akan diletakkan. Akhirnya, setelah anka mata anda mengembang, anda akan berjumpa dengan pakar mata untuk mendapatkan rundingan menyeluruh mengenai keadaan mata anda dan mendapatkan nasihat mengenai rawatan apa yang terbaik untuk mata anda.

Siapa yang harus menjalani pemeriksaan mata komprehensif?

Sesiapa yang;

  • Umur 40 tahun ke atas, terutamanya dengan sejarah penyakit sistemik seperti darah tinggi, diabetes mellitus, dll.
  • Tidak pernah menjalani pemeriksaan mata yang komprehensif sebelum ini
  • Merasakan perbezaan dengan penglihatan mereka dan perubahan fizikal mata mereka
  • Telah didiagnosis menghidap diabetes atau keadaan kesihatan yang lain
  • Mempunyai sejarah keluarga mengenai penyakit mata
  • Menyedari perubahan dalam tabiat visual mereka seperti kesukaran membaca, harus menyepetkan mata, dll.

Amaran!
Sebilangan keadaan mata mempunyai simptom yang sangat halus, jadi pengesanan dan rawatan awal diperlukan untuk mengelakkan kehilangan penglihatan.

Berapa lama keseluruhan proses akan berlangsung?

Lebih kurang 1 hingga 2 jam untuk keseluruhan proses yang perlu dilakukan.

Mengapa anak mata perlu dikembangkan?

Mata anda mesti dikembangkan supaya doktor dapat melihat bahagian belakang mata anda dengan lebih baik.

Berapa lama masa yang diperlukan untuk anak mata saya kembali ke ukuran normal?

Biasanya memerlukan masa sekitar 4-5 jam untuk anak mata kembali ke ukuran normal, tetapi ia bergantung pada keadaan mata anda.

Saya adalah pengguna kanta lekap. Bolehkah saya datang untuk ujian mata komprehensif saya?

Ya, sangat disarankan agar anda mengikuti pemeriksaan mata. Walau bagaimanapun, kami mengesyorkan agar anda menghentikan penggunaan kanta lekap anda sekurang-kurangnya 10 hari sebelum temujanji.

Isteri saya mengandung. Adakah dia boleh menjalani pemeriksaan mata komprehensif?

Ya, boleh untuk pemeriksaan mata secara umum. Namun, jika beliau ingin menjalani rawatan bebas rabun, kami akan menyarankan untuk datang setelah selamat melahirkan. Ini adalah kerana kehamilan mengubah tahap hormon yang akan mempengaruhi kadar rabun seseorang. Akhirnya, bacaan dan pengukuran berubah-ubah sehingga tidak tepat untuk pembedahan mata. Ini adalah terpakai untuk wanita yang sedang menyusukan bayi juga.

Bolehkah saya datang sendiri untuk pemeriksaan mata atau adakah saya perlu membawa rakan?

Kami mengesyorkan agar anda membawa seseorang untuk memandu anda pulang kerana anak mata yang kembang akan menyebabkan penglihatan kabur dan silau.

Flap-Less & Femto-LASIK

Bagaimana saya dapat mengetahui prosedur mana yang sesuai untuk saya; Flap-Less atau Femto-LASIK?

Anda akan mengetahui kesesuaian anda untuk prosedur laser semasa pemeriksaan mata yang komprehensif. Sangat penting untuk memastikan mata anda sihat sebelum meneruskan prosedur laser.

Bilakah prosedur laser bebas rabun saya akan ditetapkan selepas hari pemeriksaan saya?

TAHNIAH, bagi anda yang berminat dan layak untuk prosedur Flap-Less kerana prosedur anda boleh dilakukan pada hari yang sama dengan pemeriksaan.

Jika anda memilih Femto-LASIK, kami biasanya menjadualkan prosedur pada setiap hari Khamis dan pemeriksaan harus dilakukan sekurang-kurangnya satu hari lebih awal. Jadi, jika anda datang pada hari Rabu, anda hanya perlu menunggu satu hari sebelum anda bebas cermin mata!

Saya mempunyai jadual yang sibuk. Saya ingin meneruskan prosedur saya pada bulan berikutnya selepas pemeriksaan, adakah itu dibenarkan?

Ya boleh. Hasil pemeriksaan mata komprehensif bertahan dan sah selama 3 bulan. Sekiranya melebihi tempoh 3 bulan, anda harus mengulangi pemeriksaan komprehensif anda dari awal kerana kami sentiasa ingin mendapatkan keputusan yang terkini untuk memastikan ketepatan dan hasil yang paling optimum untuk anda.

Katarak & Bedah Vitrektomi

Berapa lama saya perlu menunggu untuk pembedahan dijalankan selepas pemeriksaan dengan pakar mata?

Sekiranya anda sesuai untuk pembedahan dan terdapat slot kekosongan, anda boleh menjalani pembedahan secepat mungkin. Ini juga bermaksud bahawa pembedahan anda dapat dilakukan pada hari yang sama jika slot mengizinkan!

Dalam beberapa kes, kanta harus disesuaikan dan dipesan khas di luar negara. Oleh itu, ia mungkin mengambil masa sehingga 6 minggu untuk kanta tiba di pusat mata kami dan kami akan menjadualkan pembedahan anda dengan segera.

Haruskah saya berpuasa pada hari pembedahan?

Anda tidak perlu berpuasa sebelum pembedahan tetapi anda harus mengambil ubat-ubatan anda seperti biasa, terutama bagi pesakit diabetes dan darah tinggi. Kami hanya meneruskan pembedahan jika tahap gula dan tekanan darah berada dalam had normal untuk memastikan keselamatan mata anda dalam pembedahan.

Adakah saya perlu membawa cermin mata hitam pada hari pembedahan?

Ia adalah tidak wajib, ia bergantung pada pesakit.

Flap-Less & Femto-LASIK

Ubat mata apa yang harus saya gunakan selepas prosedur?

Kami akan memberi anda pelembap mata dan ubat mata antibiotik. Sebelum pulang, kami akan menerangkan kepada anda langkah-langkah penggunaan dan kekerapan pemakaian ubat.

Bolehkah saya memandu setelah habis menjalani prosedur dan terus bekerja?

Pada hari prosedur, disarankan agar anda membawa seseorang untuk mengantarkan anda ke rumah kerana anda mungkin mengalami ketidakselesaan penglihatan sementara yang boleh membahayakan anda untuk memandu sendiri. Walau bagaimanapun, anda boleh terus melakukan kerja ringan dan aktiviti harian.

Adakah normal bagi saya untuk merasa sensitif terhadap cahaya selepas prosedur?

Ya, ia adalah normal dan ini adalah gejala sementara sahaja. Anda boleh menggunakan cermin mata hitam untuk mengurangkan rasa silau dan menjadikan mata anda selesa. Adalah normal bagi anda juga jika anda merasa mata anda berair dan sedikit iritasi. Anda boleh menepek-nepek air mata di kelopak mata bawah tanpa menekan bola mata.

Bagaimana dengan aktiviti air dan penggunaan alat solek selepas prosedur?

Anda dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti sukan air seperti berenang atau menyelam. Walau bagaimanapun, anda boleh mandi secara normal dengan langkah penjagaan tambahan agar air tidak langsung masuk ke mata anda. Ini penting untuk minggu pertama untuk Flap-Less dan bulan pertama untuk Femto-LASIK.

Bilakah temujanji rawatan susulan saya akan dibuat selepas prosedur?

Rawatan susulan pertama adalah seminggu selepas pembedahan diikuti tiga dan enam bulan selepas prosedur.

Katarak & Bedah Vitrektomi

Adakah saya perlu mengelakkan pengambilan makanan tertentu selepas pembedahan?

Anda boleh meneruskan pengambilan makanan seperti biasa, namun, elakkan juga makanan yang pernah anda alah sebelum ini.

Bolehkah saya melakukan aktiviti harian selepas pembedahan seperti memasak, menggunakan telefon, komputer dan lain-lain?

Ya, anda boleh meneruskan aktiviti harian biasa. Walau bagaimanapun, elakkan dari mengangkat benda berat dan membongkok. Anda tidak digalakkan melakukan perkara ini pada minggu pertama selepas pembedahan kerana kanta yang baru diletakkan di dalam mata anda masih belum stabil.

Bolehkah saya mengambil wuduk dan solat seperti biasa?

Sudah tentu, anda boleh meneruskan wuduk dan solat anda setiap hari. Walau bagaimanapun, langkah berjaga-jaga mesti diambil untuk mengelakkan mata anda terkena air. Untuk solat, anda digalakkan untuk solat duduk untuk mengelakkan pergerakan kuat ketika sujud. Perkara ini akan dijelaskan lebih lanjut semasa konsultasi selepas pembedahan.

Adakah saya perlu memakai pelindung mata sepanjang minggu pertama?

Wajib memakai pelindung mata pada minggu pertama, terutama ketika tidur untuk mengelakkan kecederaan yang mungkin terjadi akibat menggosok mata secara tidak sengaja semasa tidur. Namun, pada waktu siang, anda dapat melindungi mata anda dengan memakai cermin mata hitam.

Berapa lamakah masa proses penyembuhan?

Proses penyembuhan bergantung pada individu, tetapi dalam kebanyakan kes, ia mengambil masa satu minggu untuk pesakit mendapatkan penglihatan yang lebih jelas.

Langkah apa yang harus saya ambil untuk melindungi mata saya selepas pembedahan?

Lebih baik jika anda menahan diri dari menggosok, menggaru, atau memberi tekanan pada mata anda. Anda hendaklah mengikut sepenuhnya peraturan pasca pembedahan.

Bolehkah saya mandi selepas pembedahan?

Pada minggu pertama, kami mengesyorkan agar anda mengambil langkah berjaga-jaga tambahan semasa mencuci rambut. Hati-hati agar air tidak masuk ke mata anda. Ini kerana anda secara tidak sedar boleh menggosok mata yang baru sahaja melalui pembedahan dan ia adalah berisiko. Juga, semasa membersihkan wajah, anda boleh mengelap wajah anda dengan lembut menggunakan tuala basah.

Bolehkah saya menaiki kapal terbang sebaik sahaja selepas pembedahan?

Selepas pembedahan katarak, anda boleh melakukan perjalanan menaiki kapal terbang. Pastikan anda menggunakan ubat mata selepas pembedahan yang telah diterangkan.

Namun, untuk kes vitrektomi, anda tidak boleh menaiki kapal terbang, dan ini akan dijelaskan secara terperinci oleh pakar bedah dan paramedik kami.

Bilakah saya perlu datang untuk temujanji susulan?

Biasanya, pesakit disarankan untuk menghadiri temu janji susulan pertama mereka setelah satu minggu dari tarikh pembedahan. Rawatan susulan kedua adalah selepas enam hingga lapan minggu dari susulan pertama. Namun, sekiranya mata anda menunjukkan tanda-tanda jangkitan seperti kemerahan, bengkak mata dan kualiti penglihatan yang menurun, sila datang terus ke pusat mata kami. Sekiranya kami tidak beroperasi pada hari tertentu, sila ke hospital atau klinik terdekat untuk tindakan segera.

Pesan Sekarang

Tetapkan Janji Temu Anda